17.2.17

AKTA 778 - AKTA BARU MENGHAPUS SKIM PELABURAN TIPU

AKTA 778 - Akta baru yang diperkenalkan dan dikuatkuasakan bersama AKTA 777 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada tahun 2017 ini mampu mengekang penularan pelaburan tipu Seumpama Skim Cepat Kaya. Tiada lagi sebab mengapa kita harus ditipu oleh mereka yang mempromosi Skim Pelaburan Tipu yang seumpamanya. Mari bersama-sama Celik Minda kita dengan laporan seterusnya....



Kredit kepada Utusan - www.utusan.com.my

PADA 26 Januari lalu, Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Datuk Seri Jamil Salleh mengumumkan Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778) akan dikuatkuasakan ­serentak dengan Akta Syarikat 2016 (Akta 777) pada 31 Januari 2017. Matlamat utama Akta 778 adalah mewujudkan dan mengawal satu ‘platform alternatif bagi pengumpulan dana’ oleh syarikat melalui penawaran skim ­kepentingan kepada pihak awam.

Istilah ‘kepentingan’ ditakrif dalam Akta 778 ini untuk membawa maksud ‘apa-apa kepen­tingan atau hak untuk mengambil bahagian’ dalam tiga jenis kegiatan ekonomi, iaitu skim pelaburan, skim kongsi masa atau skim keahlian rekreasi. Perbincangan kita selepas ini ditumpukan kepada aktiviti dalam bidang skim pelaburan sahaja.

Dalam bahasa mudah, sekiranya selepas tarikh 31 Januari ada usahawan di negara ini mahu mewujudkan satu skim pelaburan yang sah di sisi undang-undang, segala peruntukan yang terkandung dalam Akta 778 yang baru dikuatkuasakan ini hendaklah dipatuhi. Mana-mana skim pelaburan yang gagal mematuhi kehendak Akta 778 ini adalah tidak sah dan mana-mana pihak yang mengendalikannya atau terlibat di dalam aktivitinya boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.

Kewujudan Akta 778 dinanti-nantikan sejak sekian lama dan penguatkuasaannya pada Januari lalu dialu-alukan, apatah lagi bila baru-baru ini kita dikejutkan de­ngan berita tangkapan seorang wanita muda yang memperdaya lebih 1,000 orang melibatkan pelaburan tipu berjumlah lebih RM55 juta.

Suspek menipu mangsa dengan menawarkan menjadi pelabur dalam satu tender pakaian seragam dan menjanjikan bahawa mereka akan menerima pulangan pelaburan sehingga 50 peratus dalam tempoh dua minggu. Siasatan polis mendapati kumpulan penipu pelaburan ini menjalankan kegiatan sejak Ogos 2015 dengan menyasarkan ­mangsa dalam kalangan kenalan rapat serta penduduk kampung.

Kes terbaharu ini mengingatkan kita kepada satu kes tiga tahun lalu, yang melibatkan jumlah wang pelaburan yang lebih besar lagi. Pada 13 Jun 2014, pengasas skim pelaburan tipu ini, Datuk Dr. Jailani Jabar dan isterinya Datin Dr. Latifah Taib dihukum penjara (10 tahun bagi Jailani dan enam tahun bagi Latifah) serta denda berjumlah RM50 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didapati bersalah atas 189 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM170 juta dan mengambil deposit daripada orang awam secara haram.

Mereka disabitkan setelah mahkamah mendapati mereka gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Jailani didenda RM29 juta atas 106 pertuduhan melibatkan nilai RM98.7 juta, manakala Latifah pula didenda RM21 juta atas 83 pertuduhan membabitkan nilai RM71.3 juta.

Akta 778 mengandungi 92 seksyen dan dua jadual dimuatkan dalam tujuh bahagian. Seksyen 3(1) menyatakan - “Tiada seorang pun kecuali satu syarikat pengurusan boleh mengeluarkan atau menawarkan kepada orang awam untuk melanggan atau membeli atau mempelawa orang awam untuk melanggan atau membeli apa-apa kepentingan” kecuali skim kepentingan itu didaftarkan di bawah akta ini. Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini telah melakukan ­kesalahan, dan jika disabitkan, boleh dihukum penjara tidak lebih dari 10 tahun, denda RM50 juta atau kedua-­duanya sekali.

Seksyen 4(1) membenarkan empat jenis skim kepentingan didaftarkan di bawah akta ini, ­iaitu skim pelaburan, skim ­keahlian rekreasi, skim kongsi-masa atau gabungan mana-mana skim itu. Menurut Seksyen 5, apabila satu skim itu didaftarkan, ia boleh didaftarkan sebagai satu skim premium, skim kecil atau skim asing.

Seksyen 9 menggariskan pro­sedur bagi satu syarikat pengurusan memohon kepada Pendaftar untuk mendaftarkan satu atau lebih skim kepentingan. Jika permohonan itu didapati teratur dan memenuhi syarat, pendaftar boleh mengeluarkan perakuan kebenaran – Seksyen 10.

Akta 778 memberi kuasa kepada pendaftar menggantung per­akuan kebenaran (Seksyen 11) dan membatalkan perakuan kebenaran (Seksyen 12) jika wujud hal keadaan tertentu, seperti syarikat telah melanggar peruntukan akta ini atau gagal mematuhi apa-apa syarat yang dikenakan.

Andainya pendaftar mendapati suatu skim yang hendak didaftarkan itu ‘mungkin digunakan bagi maksud yang menyalahi undang-undang’ atau memudaratkan ke­amanan awam atau bertentangan dengan keselamatan negara, permohonan pendaftaran itu boleh ditolak olehnya – Seksyen 14.

Sebelum satu skim kepenti­ngan didaftarkan, syarikat pe­ngurusan hendaklah terlebih dahulu melantik pemegang amanah untuk bertindak bagi pemegang kepentingan – Seksyen 22.

Seksyen 45 memperincikan kewajipan berat syarikat pengurusan, termasuklah mengambil segala langkah memastikan skim kepentingan itu diurus dengan baik mengikut kehendak Akta 778, dokumen penawaran dan ­surat ikatan amanah atau perjanjian kontraktual.

Syarikat pengurusan serta mana-mana pegawainya yang ­melanggar seksyen ini boleh dihukum, jika sabit kesalahan, penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Andainya pengendalian, pe­ngurusan atau pentadbiran suatu skim kepentingan itu didapati tidak teratur, atau terma atau syarat kebenaran suatu skim itu tidak dipatuhi, Pendaftar ada kuasa untuk ‘campur tangan’. Antara tindakan yang boleh diambil adalah memerintah syarikat pengurusan menghentikan penawaran kepentingan kepada orang awam, menghendaki juruaudit skim menjalankan audit ke atas skim itu dan mengemukakan laporannya, ­memerintahkan syarikat pengurusan menggulung skim itu atau memberi apa-apa arahan lain untuk melindungi kepentingan pemegang kepentingan.

Sekiranya masih ada skim kepentingan yang tidak didaftarkan di bawah akta ini terus beroperasi selepas 31 Januari 2017, Seksyen 72 memberi kuasa kepada Pendaftar menamatkan skim yang tidak berdaftar itu, mengarahkan ‘mana-mana orang untuk membayar pampasan kepada mana-mana orang yang telah membeli apa-apa kepentingan dalam skim itu’ dan menghalang mana-mana orang dari terus menjalankan aktivitinya.

Mana-mana syarikat pengurusan yang mengeluarkan per­nyataan palsu dan mengelirukan boleh dikenakan hukuman, jika sabit kesalahan, penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya sekali – Seksyen 82.

Kesimpulannya, jika dilihat dari kandungannya, Akta 778 boleh menjadi senjata paling ter­baru untuk menghapuskan jenayah pelaburan tipu. Soalnya apakah penguatkuasaannya nanti boleh mencapai kesan yang diimpikan?

PROFESOR DATUK SALLEH BUANG ialah penganalisis undang-undang.

0 comments:

Post a Comment

Search

Blog Archive

Ads