Talk To Us : 011.2709.7066 Get Your Professional Advise From Us Now
BizTrust Seal

17.2.17

AKTA 777 - MASIH RAGU-RAGU MEMILIKI SDN.BHD? MARI DAPATKAN NASIHAT

Tahun 2017 - Implementasi Akta 777 bagi syarikat di Malaysia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Rebutlah peluang untuk menubuhkan syarika Sdn.Bhd anda.... Kembangkan lagi empayar perniagaan daripada saiz milikan tunggal, perkongsian kepada Syarikat Sdn.Bhd.





Kredit kepada http://www.bharian.com.my

SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan undang-undang syarikat negara yang terbaharu dan termoden, Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang diluluskan Parlimen pada 28 April 2016 lalu, mula berkuatkuasa pada 31 Januari lalu. Bersama Akta 777 itu, Peraturan Syarikat 2017 turut dikuatkuasakan serentak.

Apakah ahli korporat kita di seluruh negara sudah bersedia beralih atau berhijrah dari landasan lama (Akta Syarikat 1965) kepada undang-undang terbaharu ini? Pada akhir 2012 lalu, tidak kurang sejuta syarikat didaftarkan dengan SSM. Ini bermakna pada awal 2017 ini, dua hingga tiga juta pengarah syarikat perlu ambil maklum (mendapatkan kefahaman) mengenai kandungan undang-undang syarikat baharu.

Akta 777 ini hasil kerja kuat Jawatankuasa Kajian Semula Undang-undang Syarikat (CLRC), jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan untuk memodenkan undang-undang syarikat sambil mengurangkan kos pematuhan dan memudahkan prosedur syarikat dan mengurangkan duplikasi serta konflik. Dalam kajiannya yang memakan masa beberapa tahun, CLRC mendapati walaupun undang-undang syarikat diasaskan kepada undang-undang syarikat Australia, banyak dasar dan prinsip berteraskan common law telah meresap masuk dalam undang-undang syarikat kita.

Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, banyak negara termasuk Australia, Kanada, Singapura dan New Zealand tidak lagi memakai banyak prinsip undang-undang berasaskan common law ketika menjalankan reformasi undang-undang syarikat masing-masing.


Perakuan dipertimbang 

Di akhir kajiannya yang memakan masa lebih empat tahun, CLRC mengemukakan 188 perakuan, dan 183 daripadanya dipertimbangkan dan diluluskan kerajaan. Daripada ratusan perakuan ini, CLRC merumuskannya dalam 19 pernyataan dasar. Jemaah Menteri secara rasminya merestui perakuan dan pernyataan dasar ini dan selepas itu, kerja penggubalan undang-undang syarikat serba baharu dan moden dimulakan. Seperti dinyatakan di atas, rang undang-undang syarikat baharu dibentangkan dan akhirnya diluluskan oleh Parlimen pada April 2016 lalu.

Dalam sidang akhbar pada 5 Mei 2016, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner menyatakan Akta 777 baru ini 'dijangka mengurangkan beban dan kos pematuhan, memberi kemudahan kepada syarikat dan meningkatkan tahap kecekapan, kebertanggungjawaban serta perlindungan terhadap pihak berkepentingan selaras dengan piawaian tadbir urus korporat antarabangsa dan moden.'

Pengerusi SSM, Datuk Seri Jamil Salleh pula berkata objektif utama Akta 777 adalah 'memupuk semangat keusahawanan di kalangan orang awam kerana ia mempunyai banyak dasar yang memberi kesan yang positif ke atas sesebuah syarikat'. Katanya, salah satu kesan positif ini memperkenalkan konsep 'seorang pemegang saham dan seorang pengarah' bagi memudahkan perniagaan. Di bawah undang-undang lama (Akta 125) sebuah syarikat itu memerlukan paling minimum dua pemegang saham dan dua pengarah syarikat.

Tujuan kerajaan meluluskan Akta Skim Kepentingan 2016 ini adalah untuk membolehkan syarikat mengumpulkan dana melalui skim kepentingan. 

Undang-undang syarikat kita yang lama, Akta Syarikat 1965 (Akta 125) telah dipinda 35 kali sejak ia mula dikuatkuasakan pada 15 April 1966. Kali terakhir ia dipinda pada 2007 di bawah Akta Syarikat (Pindaan) 2007. Sekiranya kita bandingkan dua undang-undang dari segi skop dan kandungannya, kita akan dapati undang-undang lama (Akta 125) mengandungi 12 bahagian, tetapi hanya 374 seksyen dan 10 jadual.

Bagi undang-undang baharu pula (Akta 777), walaupun ia hanya mengandungi lima bahagian, ia sarat dengan 620 seksyen dan 13 jadual. Kesimpulannya, Akta 777 yang baharu ini hampir dua kali ganda panjang daripada Akta 125, pastinya menjadikan ia lebih kompleks dan sukar difahami, kecuali oleh pengamal undang-undang dan setiausaha syarikat yang mahir dan berpengalaman mengenainya.

Salah satu perubahan penting diperkenalkan oleh Akta 777 ini adalah konsep syarikat diberi keupayaan seperti manusia biasa. Pada masa lalu, kuasa sebuah syarikat digariskan (dihadkan) dalam dokumen rasmi M&A yang memperincikan matlamat sesebuah syarikat itu. Andainya satu tindakan syarikat itu melampaui yang terdapat dalam M&A itu, mahkamah akan mengisytiharkan tindakan itu sebagai ultra vires (melampaui kuasa) dan dengan itu tidak sah dan batal. 


 TIDAK TIMBUL LAGI ULTRA VIRES

Dengan memberi sebuah syarikat keupayaan seperti manusia biasa, masalah ultra vires ini tidak timbul lagi, kerana Akta 777 tidak mewajibkan sebuah syarikat mempunyai M&A seperti dulu, kecuali syarikat berkenaan mahu berbuat demikian.

Bagi sebuah syarikat awam, Akta 777 beri hak dan peluang kepada pemegang saham memeriksa kontrak perkhidmatan antara syarikat itu dengan pengarahnya. Peruntukan ini diharapkan akan meningkatkan lagi ketelusan dan akauntabiliti pengarah syarikat. Mengenai isu saraan (gaji dan elaun), pengarah syarikat awam pula, perkara ini perlu dibentangkan dalam mesyuarat tahunan dan diluluskan pemegang saham.

Bagi sesiapa saja (misalnya pengasas syarikat, pemilik saham) yang selama ini pernah guna kuasa atau pengaruhnya untuk menentukan perjalanan sebuah syarikat walaupun nama mereka tidak disenaraikan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat (mereka dipanggil "shadow directors"),

mereka perlu berhati-hati kerana Akta 777 ini boleh dipakai kepada mereka, sekali gus menjadikan mereka tertakluk kepada kewajipan fidusiari sama seperti dipikul oleh pengarah syarikat lain, dan jika berlaku pelanggaran undang-undang, mereka boleh dikenakan penalti berat (denda maksimum RM3 juta dan penjara 5 tahun) - seksyen 213

AKTA 778 - AKTA BARU MENGHAPUS SKIM PELABURAN TIPU

AKTA 778 - Akta baru yang diperkenalkan dan dikuatkuasakan bersama AKTA 777 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada tahun 2017 ini mampu mengekang penularan pelaburan tipu Seumpama Skim Cepat Kaya. Tiada lagi sebab mengapa kita harus ditipu oleh mereka yang mempromosi Skim Pelaburan Tipu yang seumpamanya. Mari bersama-sama Celik Minda kita dengan laporan seterusnya....



Kredit kepada Utusan - www.utusan.com.my

PADA 26 Januari lalu, Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Datuk Seri Jamil Salleh mengumumkan Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778) akan dikuatkuasakan ­serentak dengan Akta Syarikat 2016 (Akta 777) pada 31 Januari 2017. Matlamat utama Akta 778 adalah mewujudkan dan mengawal satu ‘platform alternatif bagi pengumpulan dana’ oleh syarikat melalui penawaran skim ­kepentingan kepada pihak awam.

Istilah ‘kepentingan’ ditakrif dalam Akta 778 ini untuk membawa maksud ‘apa-apa kepen­tingan atau hak untuk mengambil bahagian’ dalam tiga jenis kegiatan ekonomi, iaitu skim pelaburan, skim kongsi masa atau skim keahlian rekreasi. Perbincangan kita selepas ini ditumpukan kepada aktiviti dalam bidang skim pelaburan sahaja.

Dalam bahasa mudah, sekiranya selepas tarikh 31 Januari ada usahawan di negara ini mahu mewujudkan satu skim pelaburan yang sah di sisi undang-undang, segala peruntukan yang terkandung dalam Akta 778 yang baru dikuatkuasakan ini hendaklah dipatuhi. Mana-mana skim pelaburan yang gagal mematuhi kehendak Akta 778 ini adalah tidak sah dan mana-mana pihak yang mengendalikannya atau terlibat di dalam aktivitinya boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.

Kewujudan Akta 778 dinanti-nantikan sejak sekian lama dan penguatkuasaannya pada Januari lalu dialu-alukan, apatah lagi bila baru-baru ini kita dikejutkan de­ngan berita tangkapan seorang wanita muda yang memperdaya lebih 1,000 orang melibatkan pelaburan tipu berjumlah lebih RM55 juta.

Suspek menipu mangsa dengan menawarkan menjadi pelabur dalam satu tender pakaian seragam dan menjanjikan bahawa mereka akan menerima pulangan pelaburan sehingga 50 peratus dalam tempoh dua minggu. Siasatan polis mendapati kumpulan penipu pelaburan ini menjalankan kegiatan sejak Ogos 2015 dengan menyasarkan ­mangsa dalam kalangan kenalan rapat serta penduduk kampung.

Kes terbaharu ini mengingatkan kita kepada satu kes tiga tahun lalu, yang melibatkan jumlah wang pelaburan yang lebih besar lagi. Pada 13 Jun 2014, pengasas skim pelaburan tipu ini, Datuk Dr. Jailani Jabar dan isterinya Datin Dr. Latifah Taib dihukum penjara (10 tahun bagi Jailani dan enam tahun bagi Latifah) serta denda berjumlah RM50 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didapati bersalah atas 189 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM170 juta dan mengambil deposit daripada orang awam secara haram.

Mereka disabitkan setelah mahkamah mendapati mereka gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Jailani didenda RM29 juta atas 106 pertuduhan melibatkan nilai RM98.7 juta, manakala Latifah pula didenda RM21 juta atas 83 pertuduhan membabitkan nilai RM71.3 juta.

Akta 778 mengandungi 92 seksyen dan dua jadual dimuatkan dalam tujuh bahagian. Seksyen 3(1) menyatakan - “Tiada seorang pun kecuali satu syarikat pengurusan boleh mengeluarkan atau menawarkan kepada orang awam untuk melanggan atau membeli atau mempelawa orang awam untuk melanggan atau membeli apa-apa kepentingan” kecuali skim kepentingan itu didaftarkan di bawah akta ini. Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini telah melakukan ­kesalahan, dan jika disabitkan, boleh dihukum penjara tidak lebih dari 10 tahun, denda RM50 juta atau kedua-­duanya sekali.

Seksyen 4(1) membenarkan empat jenis skim kepentingan didaftarkan di bawah akta ini, ­iaitu skim pelaburan, skim ­keahlian rekreasi, skim kongsi-masa atau gabungan mana-mana skim itu. Menurut Seksyen 5, apabila satu skim itu didaftarkan, ia boleh didaftarkan sebagai satu skim premium, skim kecil atau skim asing.

Seksyen 9 menggariskan pro­sedur bagi satu syarikat pengurusan memohon kepada Pendaftar untuk mendaftarkan satu atau lebih skim kepentingan. Jika permohonan itu didapati teratur dan memenuhi syarat, pendaftar boleh mengeluarkan perakuan kebenaran – Seksyen 10.

Akta 778 memberi kuasa kepada pendaftar menggantung per­akuan kebenaran (Seksyen 11) dan membatalkan perakuan kebenaran (Seksyen 12) jika wujud hal keadaan tertentu, seperti syarikat telah melanggar peruntukan akta ini atau gagal mematuhi apa-apa syarat yang dikenakan.

Andainya pendaftar mendapati suatu skim yang hendak didaftarkan itu ‘mungkin digunakan bagi maksud yang menyalahi undang-undang’ atau memudaratkan ke­amanan awam atau bertentangan dengan keselamatan negara, permohonan pendaftaran itu boleh ditolak olehnya – Seksyen 14.

Sebelum satu skim kepenti­ngan didaftarkan, syarikat pe­ngurusan hendaklah terlebih dahulu melantik pemegang amanah untuk bertindak bagi pemegang kepentingan – Seksyen 22.

Seksyen 45 memperincikan kewajipan berat syarikat pengurusan, termasuklah mengambil segala langkah memastikan skim kepentingan itu diurus dengan baik mengikut kehendak Akta 778, dokumen penawaran dan ­surat ikatan amanah atau perjanjian kontraktual.

Syarikat pengurusan serta mana-mana pegawainya yang ­melanggar seksyen ini boleh dihukum, jika sabit kesalahan, penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Andainya pengendalian, pe­ngurusan atau pentadbiran suatu skim kepentingan itu didapati tidak teratur, atau terma atau syarat kebenaran suatu skim itu tidak dipatuhi, Pendaftar ada kuasa untuk ‘campur tangan’. Antara tindakan yang boleh diambil adalah memerintah syarikat pengurusan menghentikan penawaran kepentingan kepada orang awam, menghendaki juruaudit skim menjalankan audit ke atas skim itu dan mengemukakan laporannya, ­memerintahkan syarikat pengurusan menggulung skim itu atau memberi apa-apa arahan lain untuk melindungi kepentingan pemegang kepentingan.

Sekiranya masih ada skim kepentingan yang tidak didaftarkan di bawah akta ini terus beroperasi selepas 31 Januari 2017, Seksyen 72 memberi kuasa kepada Pendaftar menamatkan skim yang tidak berdaftar itu, mengarahkan ‘mana-mana orang untuk membayar pampasan kepada mana-mana orang yang telah membeli apa-apa kepentingan dalam skim itu’ dan menghalang mana-mana orang dari terus menjalankan aktivitinya.

Mana-mana syarikat pengurusan yang mengeluarkan per­nyataan palsu dan mengelirukan boleh dikenakan hukuman, jika sabit kesalahan, penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya sekali – Seksyen 82.

Kesimpulannya, jika dilihat dari kandungannya, Akta 778 boleh menjadi senjata paling ter­baru untuk menghapuskan jenayah pelaburan tipu. Soalnya apakah penguatkuasaannya nanti boleh mencapai kesan yang diimpikan?

PROFESOR DATUK SALLEH BUANG ialah penganalisis undang-undang.

Search

Blog Archive

Ads